
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Di sini saya ingin berkongsi serba sedikit mengenai apa yang saya dengar dari ceramah Ustaz Nassuruddin mengenai kisah Saidina Umar Al-Khattab. Walaupun kisah ini pendek, tapi saya berharap agar kita semua mendapat manfaat daripadanya.
Saidina Umar merupakan seorang yang bengis . Semua masyarakat Arab pada masa itu takut dengannya walaupun ketika itu beliau telah memeluk Islam. Disebabkan itu Nabi pernah bersabda, "Demi zat aku yang berada di dalam kekuasaanNya, tidak ada syaitan yang akan melalui jalan yang dilalui olehmu melainkan mereka berusaha melalui jalan yang tidak dilalui olehmu." (Riwayat Muslim) . Hadis ini menunjukkan bahawa bukan sahaja manusia yang berasa gerun terhadapnya, bahkan juga syaitan. Kalau kita pada hari ini syaitan akan semakin dekat kepada orang yang bengis untuk menghasut dan menyalakan api kemarahannya agar berlaku kemungkaran kerana seperti yang kita tahu orang yang bengis ini dia seorang yang panas baran dan cepat marah. Tetapi hal ini berbeza dengan Saidina Umar.
Diceritakan sebelum beliau memeluk Islam, Umar begitu membenci Nabi Muhammad S.A.W sehingga pada suatu hari, dia yakni Umar membawa sebilah pedang yang tidak bersarung pergi mencari Nabi Muhammad untuk dibunuh. Dalam perjalanannya, Umar telah bertemu dengan Nuim Bin Abdullah. Lalu Nuim bertanya kepada Umar, "kamu hendak pergi ke mana wahai Umar?". Lalu Umar menjawab, aku ingin mencari Muhammad yang murtad, orang yang telah memecahbelahkan perpaduan orang Quraish!". Setelah mendengar jawapan Umar lalu Nuim memberitahu, "Lebih baik kamu pulang ke rumah dan perbetulkan keluarga kamu dahulu". Lalu umar berasa hairan dan bertanya, "Mengapa kamu berkata begitu wahai Nuim?". Lalu Nuim menjawab, "Adikmu Fatimah binti Khattab dan adik iparmu Said Bin Zaid telah memeluk Islam ". Mendengar jawapan yang keluar dari mulut Nuim itu, Umar berasa sangat marah dan terus pulang ke rumah mencari adiknya, Fatimah.
Ketika itu, adiknya Fatimah dan adik iparnya Said sedang mengaji Al-Quran dengan Khabbab Bin Al-Arat dan surah yang diajar oleh Khabbab kepada mereka ialah Surah Taha. Sebaik sahaja Umar tiba dan masuk ke dalam rumah, Khabbab berasa terkejut lalu lari bersembunyi kerana takut dengan Umar. Apabila Umar melihat mereka sedang mengaji, Umar terus memukul adik iparnya sehingga berdarah. Kemudian adiknya merayu-rayu kepada Umar, tapi Umar terus memukul adiknya Fatimah. Tidak lama kemudian Fatimah menangis kerana berasa kecewa dengan sikap abangnya. Melihat adiknya menangis, Umar berasa kasihan lalu berkata, "Baiklah, tumjukkanlah apa yang kamu baca tadi". Tetapi Fatimah enggan menyerahkannya kerana khuatir akan diapa-apakan oleh Umar. Lalu Umar bersumpah di atas nama berhala, "Demi Latta dan Uzza, aku tidak akan mengapa-apakan kepada apa yang kamu baca tadi"
Diringkaskan cerita, Umar kemudian membaca apa yang dibaca oleh Fatimah dan Said sebentar tadi, iaitu Surah Taha ayat 1-5. Apabila dia membaca surah tersebut, maka dengan izin Allah menyerap iman ke dalam hatinya. Lalu dia tanya adiknya dengan nada yang lembut, "Di mana Muhammad?" Mendengar kata-katanya yang lembut itu, guru yang mengajar Al-Quran tadi, iaitu Khabbab keluar dari tempat persembunyiannya dan memberitahu Umar, "Segeralah kamu bertemu dengan Muhammad wahai Umar kerana aku pernah mendengar baginda berdoa, Ya Allah! Berilah kemuliaan kepada Islam melalui perantaraan salah satu daripada dua Umar". Pada zaman itu, terdapat dua orang yang bernama Umar yang tersohor pada masa itu, iaitu Saidina Umar dan Amr bin Hisham iaitu Abu Jahal. Lalu Khabbab memberitahu Umar bahawa mungkin Allah S.W.T telah memilihnya. Kemudian Umar dengan segera pergi mencari Nabi Muhammad dan akhirnya diringkaskan cerita Saidina Umar telah memeluk Islam dan usianya ketika itu ialah 27 tahun.
Hanya setakat ini sahaja yang mampu saya kongsikan apa yang saya dapat dari ceramah Ustaz Nassuruddin. ( Sebab setakat saja yang saya ingat dan mampu catat :-) ) Semoga kita semua mendapat manfaat daripada kisah ini dan segala yang baik datang dari Allah dan segala kelemahan itu datang dari saya sendiri.

Maksudnya:
1. Thaa haa
2. Kami tidak menurunkan Al-Quran ini kepadamu agar kamu menjadi susah
3. Tetapi sebagai peringatan bagi orang yang takut (kepada Allah)
4. Iaitu diturunkan dari Allah yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi
5. Iaitu Tuhan Yang Maha Pemurah, Yang bersemayam di atas Arasy
No comments:
Post a Comment