Sunday, 26 August 2012

Seandainya Ramadhan dapat diundur..


Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad S.A.W serta ahli keluarga dan para sahabat. Entri kali ini berdasarkan apa yang diperhatikan dari tahun ke tahun. Alhamdulillah, kita baru sahaja merayakan Hari Raya Adilfitri pada 1 Syawal yang lalu. Di kesempatan ini saya juga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir & Batin kepada semua pembaca (walaupun dah terlambat ^^).


Akan tetapi, selepas pemergian bulan Ramadhan tempoh hari, pernahkah kita terfikir adakah kita sudah memanfaatkan bulan yang mulia itu? Ketahuilah para pembaca, sesungguhnya saya sendiri tidak yakin apakah saya dapat bertemu lagi dengan Ramadhan pada tahun hadapan. 'Rasa sedih dan menyesal pada bulan Ramadhan yang lalu ', adakah frasa itu pernah wujud di fikiran para pembaca sekalian di bulan Syawal ini? Demi kekuasaanNya, seandainya Ramadhan itu dapat diundur nescaya kita semua akan beribadat dengan lebih banyak dan khusyuk kepadaNya..


Ketahuilah, mati itu tidak mengenal usia. Apa yang saya sedih pada bulan Ramadhan yang lalu ialah golongan pemuda masih lagi menzahirkan pergaulan bebas di mata masyarakat. Ketika itu, saya berada di sebuah restoran untuk bersahur dan pemilik restoran itu membuka siaran Solat Sunat Terawih secara langsung dari Kota Mekah. Apa yang sedihnya ialah, mereka masih lagi sempat berpeluk-pelukan, bergurau senda antara lelaki dan perempuan tanpa menghiraukan pelanggan-pelanggan yang lain, tanpa menghiraukan ayat-ayat dari Kalam Allah yang dibaca oleh Imam di Mekah. Ingin sekali saya letakkan dalam hati bahawa mereka itu adalah suami isteri. Akan tetapi, mereka itu dalam jumlah yang ramai lebih kurang 4 lelaki, 3 perempuan. Ketahuilah, pasangan yang sudah berkahwin itu, kelakuannya amat berbeza dengan mereka yang belum berkahwin.

Bila difikirkan balik, Ramadhan yang mereka alami itu adalah sia-sia dan banyak dibazirkan. Memang tidak dapat dinafikan, saya juga terlalu banyak membazirkan masa sewaktu bulan Ramadhan dan saya juga tidak berniat untuk menghina,mengaibkan atau menghukum mereka. Akan tetapi, perasaan sedih itu tiba-tiba wujud tatkala melihat perlakuan mereka. Alangkah runtuhnya akhlak pemuda Islam masa kini. Teringat saya kata-kata Al-Imam Ghazali Rahimahullah, "Jika kamu ingin lihat kemajuan di dalam sesebuah negara, maka lihatlah pemuda dan pemudinya". Melihat akhlak golongan pemuda yang runtuh masa kini adalah tidak mustahil negara kita akan mundur dan kucar kacir suatu hari nanti.

Sesungguhnya demi Allah yang memiliki segala apa yang ada di langit dan di bumi serta menguasai Hari Pembalasan, seandainya mereka sedar ataupun kita sendiri sedar dengan apa yang telah kita lakukan pada Ramadhan yang lalu, tentunya kita akan berdoa kepada Sang Pencipta memohon keampunan serta muhasabah diri sambil merenung, 'Seandainya Ramadhan dapat diundur...'